Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diyakini akan mengawal selia kandungan cecair rokok elektronik atau vape yang dijual di Malaysia menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] yang telah diwartakan pada 2 Februari lalu.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kawalan itu merangkumi pendaftaran produk, promosi, pengiklanan dan penajaan.

“Larangan penggunaan juga akan dikenakan khususnya bagi orang belum dewasa (OBD). Ia bakal digubal bagi mengurangkan prevalen serta kesan penggunaan vape di Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 13 Februari lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendesak kerajaan memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia kandungan vape.

Beliau berkata, ketika ini, tiada sebarang peraturan yang dikenakan bagi kawalan bahan yang terkandung dalam peranti elektronik terbabit.

Menurut Wan Saiful, Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk memperkenalkan peraturan kandungan vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Dr Noor Hisham juga berkata, di bawah kawalan pendaftaran produk, semua pemain industri produk merokok termasuk vape perlu mengisytiharkan kandungan setiap jenis produk tersebut.

“Ia bagi tujuan pemantauan sebelum diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dipasarkan. Isipadu kandungan serta kepekatan cecair nikotin akan ditetapkan bagi mengelakkan komplikasi penyakit dalam jangka pendek mahu pun jangka panjang.

“Ini kerana ia akan melibatkan implikasi kewangan tinggi bagi kos rawatan yang perlu ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu, menurutnya, penggunaan vape bukan sahaja tidak selamat dalam kalangan orang dewasa bahkan pelajar sekolah berisiko tinggi mendapat komplikasi penyakit dalam jangka pendek.

“Vape mula diperkenalkan kira-kira 20 tahun lalu oleh seorang ahli farmasi di China dan tersebar luas di seluruh dunia. Di Malaysia, produk ini mula dipasarkan sejak 2015 dan sehingga kini telah mengalami pelbagai evolusi dari segi rupa bentuk serta kandungan yang menarik perhatian terutama golongan kanak-kanak dan belia.

“Penggunaan vape terbukti mendatangkan banyak komplikasi penyakit berkaitan sistem pernafasan iaitu E-Cigarette or Vape Product- Use Associated Lung Injury atau ringkasnya EVALI.

“Sehingga kini, para penyelidik masih aktif mengkaji kesan jangka panjang penggunaan produk ini,” katanya.

Tambahnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mula mengeluarkan amaran tentang bahaya penggunaan rokok elektronik ini sejak 2015 melalui laporan A Systematic Review of Health Effects of Electronic Cigarette.

“KKM telah mula mengenal pasti penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik ini sejak Jun 2022 melalui surat pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan.

“Sehingga kini terdapat 42 kes telah dilaporkan. Selain itu, terdapat juga kes keracunan akibat terminum serta kemungkinan cecair rokok elektronik atau vape ini dicampur bahan terlarang seperti dadah,” katanya.

Ketika ditanya sejauh mana Malaysia akan mencontohi negara luar menguatkuasakan peraturan untuk mengawal bahan yang terkandung dalam cecair vape, beliau berkata, KKM sedang melakukan kajian teliti sebelum peraturan ini dimuktamadkan.

Kajian tersebut adalah merangkumi perbandingan dari aspek kandungan, isipadu dan kepekatan cecair nikotin; kebaikan serta kelemahan penguatkuasaan dari negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun; dan Korea.

“Cadangan kawal selia ini turut diedarkan ke Kementerian dan agensi lain bagi mendapatkan pandangan serta kelulusan Jemaah Menteri sebelum dikuatkuasakan kelak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette