Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Tengah Selangor), Norlela Ismail bercakap pada media mengenai kejayaan menyekat penyeludupan mercun, barang elektrik, minuman keras, daging babi, dan ‘airsoft pistol’ di Pekarangan Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Klang. Foto SYADILA AMARI, 20 FEBRUARI 2024.

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah berjaya memungut hasil berjumlah RM37.7 bilion sepanjang tahun 2023.

Hasil kutipan itu menyaksikan lebihan hampir RM1 bilion daripada unjuran RM36.85 bilion tahun lalu.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, JKDM Kuala Lumpur memungut RM14.3 bilion manakala JKDM Selangor mencatatkan jumlajh kutipan tertinggi dengan RM19.7 bilion bagi tahun 2023.

“Bagi kes penyeludupan, JKDM Zon Tengah telah berjaya menumpaskan kes seperti kes rokok dan minuman keras dan lain-lain melalui 1,185 kes rampasan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM77 juta dengan duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM105 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norlela sebelum itu hadir dalam majlis ramah mesra pengurusan tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah bersama media di Hotel Sama-sama, hari ini.

Dalam pada itu, Norlela berkata sebanyak 210 kes tangkapan telah dibuat melibatkan nilai RM 14 juta dengan duti dan cukai RM10 juta.

“Sebanyak 190 kes telah dituduh di mahkamah, 63 kes telan disabitkan dengan kesalahan,” katanya lagi.

Selain itu, dianggarkan sebanyak RM4 juta berjaya diperoleh hasil dari jualan tender kenderaan secara bersepadu melibatkan jualan 143 unit kenderaan yang telah dilucuthak. – MalaysiaGazette