Jafni hadir menyempurnakan Majlis Homebuyer Review Committee (HRC) di Residensi Larkin Indah hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menerusi Jawatankuasa Projek Sakit dan Terbengkalai (JSTP) menyasar untuk menyelesaikan lima projek sakit serta satu projek terbengkalai melibatkan dengan nilai hartanah lebih RM700 juta pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, ia melibatkan 1,928 unit rumah di empat buah daerah di negeri ini.

Semua projek itu dapat diselesaikan dengan penglibatan pelbagai pihak di bawah JSTP melibatkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), 16 Pihak Berkuasa Tempatan serta semua agensi teknikal.

“Tahun 2022 dan 2023, kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan lima projek sakit dengan nilai hartanah kira-kira RM300 juta dan pada tahun ini kita sasarkan untuk menyelesaikan lagi lima projek sakit dan satu projek terbengkalai.

“Nilai hartanah projek sakit dan terbengkalai yang telah dan akan diselesaikan akan mencecah kepada RM1 bilion membabitkan 3,500 unit melibatkan tempoh tiga tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas menyempurnakan Majlis Homebuyer Review Committee (HRC) di Residensi Larkin Indah hari ini.

Selain itu, lima projek sakit akan diselesaikan pada tahun ini ialah Taman Desa, Tangkak; Taman Sri Unas Permai, Muar; Taman Residensi Larkin Indah dan Taman Molek Perdana, Johor Bahru serta Taman Impiana Kulai, Kulai. Ia melibatkan sebanyak 1,538 unit rumah.

“Bagi projek terbengkalai pula, ia melibatkan 390 unit di Taman Kulai Utama,” katanya.

Terdahulu, Mohd Jafni menyerahkan Sijil Notis Milikan Kosong (VP) kepada sebahagian pembeli Residensi Larkin Indah selepas pojek terbabit yang tertangguh lebih dua tahun.

Residensi Larkin Indah terdiri daripada 1,174 unit di atas tanah seluas 2.81 hektar mempunyai pelbagai kemudahan seperti surau, taska, tadika, dewan serba guna, taman permainan dan gelanggang  badminton.

Projek berkenaan antara enam projek PR1MA di Johor selain Residensi Tebrau, Residensi Taman Nusantara, Residensi Layangkasa, Residensi Kota Tinggi dan Residensi Pelangi Indah.- MalaysiaGazette