Norena mendengar alasan diberikan pekerja kedai perabot warga Pakistan yang mendakwa kononnya semua tanda harga yang ditampal di sofa premisnya telah ditanggalkan beberapa kanak-kanak pelanggan kedai itu semalam.

MELAKA – Dua pekerja kedai perabot warga Pakistan di sini memberi alasan tidak masuk akal setelah didapati gagal mempamerkan tanda harga ketika diserbu pihak berkuasa hari ini.

Kedua-dua pekerja lelaki berusia 40-an itu mendakwa, semua tanda harga yang ditampal di sofa dan perabot premisnya telah ditanggalkan beberapa anak-anak pelanggannya semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar berkata, pekerja kedai bersebelahan pula memaklumkan menggunakan tulisan Jawi pada tanda harga yang kabur.

“Alasan tidak logik itu diberikan dua pekerja berkenaan selain seorang lagi pekerja mendakwa tidak meletakkan harga kerana perabot telah ditempah pelanggan.

“Namun apabila disoal, perabot berkenaan tidak ditempah dan sengaja dibiarkan begitu untuk diberikan harga berbeza mengikut jenis pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Norena Jaafar

Mengulas lanjut, Norena berkata, dalam operasi bermula 12 tengah hari itu, sepasukan 16 penguat kuasa KPDN memeriksa 20 premis menjual perabot dan langsir sekitar Ayer Keroh.

“Hasil pemeriksaan, tujuh premis dikenakan kompaun serta merta berjumlah RM5,000 atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Operasi ini bertujuan mengekang sikap peniaga yang cuba mengambil kesempatan terhadap pengguna menjelang musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast