Produk-produk yang dihasilkan daripada nanas.

KUALA LUMPUR – Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) mensasarkan sejumlah 20,000 hektar tanaman buah tersebut menjelang tahun 2025.

Pengerusinya Sheikh Umar Ali berkata, untuk mencapai sasaran itu LPNM akan menambah 3,000 hektar lagi berbanding 17,000 hektar tanaman sedia ada.

Sesuai dengan pelan strategiknya, antara fokus penting perluasan ini adalah pengembangan tanaman ke kawasan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak yang masih memiliki potensi tinggi dari aspek guna tanah bagi tujuan pertanian.

Perluasan tanaman nanas itu antara empat fokus utama LPNM, selain meningkatkan pengeluaran hasil nanas sehingga 700,000 metrik tan berbanding 583,543.23 tan metrik pada tahun 2022.

“Peningkatan kepada 700,000 metrik tan pengeluaran hasil nanas adalah bertepatan dengan sasaran digariskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)

“Kemasukan varieti baru SG1 dari Sarawak ke Semenanjung padacawal Mac ini bakal menjadi ‘game changer’ kerana kemampuannya dituai pada jangkacmasa lebih singkat iaitu dalam tempoh sembilan bulan,” katanya semasa Majlis Amanat Tahun Baru 2024 hari ini.

Selain itu, melonjakkan nilai ekonomi pokok nanas kepada paras RM50 sepokok berbanding antara RM20 – RM30 pada ketika ini.

Peningkatan nilai ekonomi nanas kepada RM50 sepokok bertepatan dengan saranan pernah diumumkan oleh Kementerian Pertanian sejak tahun 2017 yang lalu iaitu untuk menjadikan tanaman nanas sebagai ‘Sumber Kekayaan Baharu’ untuk para pekebun.

“LPNM akan memberi perhatian serius terhadap agenda ‘Sekali Tanam Tiga Kali Tuai’ melibatkan buah, sulur (benih) dan juga sisa,” tambahnya.

Fokus terakhir, meningkatkan eksport nanas sebanyak 200 kontena lagi menjelang akhir tahun ini.

Sheikh Umar berkata, sekarang LPNM hanya mampu mengeksport sejumlah 800 kontena sahaja ke beberapa negara pengimport nanas Malaysia iaitu China, Korea, Jepun, Jerman dan Timur Tengah.

Peningkatan lagi 200 kontena adalah bagi menyahut seruan Datuk Seri Mohamad Sabu yang menetapkan garis pencapaian eksport nanas negara sehingga 1,000 kontena tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast