Mohd Zhafir Arbain  Umor Arbain tenang ketika keluar dari kamar Mahkamah Seksyen 2 selepas membuat pengakuan 8 kesalahan membabitkan dirinya

KUANTAN – Seorang peniaga mengaku bersalah atas kesalahan lapan pertuduhan lewat mengemukakan penyata cukai perkhidmatan di Mahkamah Seksyen Kuantan hari ini.

Tertuduh Mohd Zhafir Arbain Umor Arbain, 32 tahun kelihatan tenang ketika membuat pengakuan bersalah di hadapan hakim Mohd Sabri Ismail.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Nurhafizah Ahmad.

Mohd Zhafir berniaga atas nama Pay Station sebagai orang kena cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) didakwa telah lewat mengemukakan penyata SST-02 bagi tempoh bercukai Tempoh bercukai antara 1 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2023 kepada Ketua Pengarah Kastam.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(6)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Bagi kesalahan tersebut peruntukan hukuman ialah enda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya.

Kes disebut semula bagi penentuan hukuman terhadap tertuduh pada 27 Mac 2024. – MalaysiaGazette