Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim dan Lee Hsien Loong

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan mesyuarat khas dengan Menteri Besar Johor dan Exco Kerajaan Negeri bagi mempercepatkan cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberitahu, mesyuarat tersebut antara lain akan membincangkan pelarasan membabitkan beberapa isu antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor.

Jelas beliau, ia turut melibatkan beberapa Kementerian antaranya Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA).

“Ini adalah usaha kerajaan untuk mempercepatkan perbincangan mengenai zon khas itu supaya penubuhannya dapat dipercepatkan.

“Ada juga beberapa isu utama yang bakal dibangkitkan seperti isu sempadan, imigresen dan aspek berkaitan Kementerian Kewangan yang membabitkan beberapa proses kelulusan Kabinet.

“Saya percaya dengan adanya mesyuarat itu yang membabitkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) akan memberi petunjuk bahawa proses penubuhan zon ini mahu dipercepatkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 11 Januari lalu, Perdana Menteri dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahamam (MoU) JSSEZ antara Malaysia dengan Singapura.

Memorandum berkenaan ditandatangani Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong.

Perjanjian itu akan memperkukuhkan lagi hubungan baik di antara Johor dan Singapura untuk kemakmuran dan kemajuan kedua-dua pihak.

Idea penubuhan zon itu pertama kali dicetuskan Rafizi selepas pertemuan dengan kerajaan Johor di Iskandar Puteri pada Mei tahun lalu.

Dua bulan selepas itu, kedua-dua negara bersetuju mengorak langkah lebih jauh dengan menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji daya maju penubuhan zon ekonomi khas berkenaan.

Pada September lalu, Onn Hafiz berkata, penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura itu akan mengambil contoh usaha pembangunan Zon Ekonomi Shenzhen yang berupaya merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah RM1.93 trilion pada 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast