PUTRAJAYA – Tiga pemimpin daripada badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang disenaraikan dalam Terrorist Screening Centre atau Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai rekod keganasan di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua NGO yang terlibat dalam Ops Ihsan akan ditapis dalam aspek keselamatan sebelum terlibat dengan pengurusan bantuan kepada penduduk Gaza.

“Berdasarkan semakan kita, kesemua NGO yang terlibat dalam Ops Ihsan tidak ada rekod keselamatan, maknanya rekod polis (mereka) tidak ada terlibat keganasan. Maknanya (mereka) clean (bersih).

“Semua tidak terlibat sebarang aktiviti keganasan. Saya kena tegaskan kerana ini timbul dalam rekod FBI,” katanya ketika sidang media.

Katanya, sehingga kini  359 individu mengganggotai 53 NGO yang terlibat dalam Ops Ihsan.

Sehubungan itu katanya, tiada isu melibatkan keganasan membabitkan ketiga-tiga individu yang dilaporkan sebelum ini.

“Penegasan ini penting bagi memastikan kita sebagai negara merdeka dan berdaulat, ada undang-undang, kita ada agensi yang bertanggungjawab soal keselamatan dan kita kompeten dalam buat tapisan.

“Kalau ada kes lain saya tidak mahu cakap tapi saya cakap ini tentang aktiviti keselamatan, yang lain di luar pengetahuan saya,” jelasnya.

Terdahulu Saifuddin berkata, AS kini dalam proses mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU)  Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas.

Baru-baru ini dilaporkan FBI AS menyenaraikan tiga individu yang juga oemimpon  NGO Islam berbeza di Malaysia dalam TSC.-MalaysiaGazette