Foto IG abam_bocik

KUALA LUMPUR – Peguam balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali iaitu Mohamed Ibrahim Mohamad menjelaskan keengganan anak guamnya menerima wang tunai berjumlah RM75,000 daripada pelawak Ali Puteh atas faktor keselamatan.

Menerusi kenyataan dalam Instagram, beliau berkata, Siti Norhidayah atau Hidayah enggan menerima wang berkenaan secara tunai kerana ia melibatkan jumlah yang besar walaupun dibenarkan daripada segi undang-undang.

“Hidayah hubungi saya memaklumkan mengenai bayaran itu. Dari segi undang-undang memang tiada masalah bayar secara tunai tapi, mengambil kira jumlah besar dan dibawa ke rumah, jadi saya minta wang dimasukkan ke bank sehingga keesokan hari,” katanya.

Ibrahim pada masa sama menafikan dakwaan anak guam sengaja mahu menolak wang pemberian Ali sebagai bayaran tuntutan hutang.

Bagaimanapun, urusan itu masih belum selesai apabila Hidayah meminta Ali membuat pembayaran menerusi peguamnya.

Pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu dalam Instagram, dua tahun lalu.

Akibatnya, Ali terpaksa menjual tujuh trofi kemenangan bagi mendapatkan wang untuk melunaskan hutang bekas kakak iparnya.

Antara trofi dijual termasuklah trofi program realiti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, Projek Komedi Warna dan beberapa lagi.

Selain itu, Ali turut menjual motosikal jenis RXZ berwarna merah dan kereta Honda Accord berwarna putih miliknya. – MalaysiaGazette