BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengagalkan cubaan menyeludup masuk 361,236 tin minuman keras dianggarkan bernilai RM7.13 juta yang diisytiharkan sebagai kepingan aluminium, aloi tembaga dan kabin baru-baru ini.
Rampasan membabitkan tujuh kontena melibatkan tiga sindiket berasingan itu dilakukan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 31 Januari dan 7 Februari lalu.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Roselan Ramli berkata, pemeriksaan dibuat terhadap kontena terbabit selepas mendapati dokumen yang diikrarkan itu mencurigakan.
Jelas beliau, menerusi manifesto import menyatakan kedua-dua kontena terbabit membawa kepingan aluminium yang mana barang dagangan terbabit dipercayai dibawa dari sebuah negara di Asia Timur.
“Hasil pemeriksaan rapi terhadap dua kontena terbabit membawa kepada penemuan 106,560 tin minuman keras jenis bir yang disyaki tidak berkastam melibatkan nilai anggaran RM263,340 dan cukai berjumlah RM1,708,984.20.
“Seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun yang bertindak sebagai ejen sebuah syarikat perkapalan ditahan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.
Menurut Roselan, bagi kes kedua pula, pihaknya berjaya merampas empat lagi buah kontena pada hari dan lokasi sama sebelum menemui 202,356 tin minuman keras jenis bir yang disyaki tidak berkastam dengan nilai anggaran RM561,541.20 dan cukai berjumlah RM3,451,339.98.
Siasatan awal mendapati kontena tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan ia diimport sebuah syarikat yang berstatus Sendirian Berhad di negeri terbabit.
“Melalui dokumen yang diperolehi, dagangan ini disyaki juga berasal dari negara di Asia Timur dan kita masih mengesan pihak yang bertanggungjawab membawa masuk keempat-empat kontena ini.
“Melalui manifesto import, sindiket terbabit mengikrar dagangan sebagai kepingan alloy namun bila pemeriksaan lanjut ternyata barangan lain yang tidak bercukai.
“Bagi kes ketiga pula, beliau berkata, sebuah kontena ditahan di pelabuhan sama pada 7 Februari lalu sebelum menemui 52,320 tin minuman disyaki tidak berkastam bersamaan dengan 26,160 liter dan melibatkan nilai anggaran RM144,000 serta cukai berjumlah RM1,004,282.40,” katanya.
Ditanya sama ada kesemua minuman keras ini diseludup masuk ke negara ini sempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Roselan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu.
Kesemua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette