Urus setia pelajar dari Pusat Tamhidi USIM menunjukkan pingat dan piala anugerah khas Pertandingan Inovasi Inter Asasi Matrikulasi (PIITRAM) 2024 yang akan disampaikan kepada para penerima pada Sabtu ini.

NILAI – Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi tuan rumah kepada penganjuran Pertandingan Inovasi Inter-Asasi Matrikulasi atau dikenali sebagai Pre-University Matriculation Innovation Competition 2024 (PIITRAM 2024) yang berlangsung selama dua hari bermula esok, Jumaat hingga Sabtu.

Merupakan pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan yang melibatkan penglibatan Asasi Universiti Awam dan Matrikulasi seluruh negara, program di bawah naungan Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam yang mula dianjurkan secara tahunan pada 2021 ini telah menyaksikan peningkatan penyertaan inovasi dari tahun ke tahun.

Diadakan bertempat di Dewan Tuanku Canselor, sebanyak 342 produk inovasi telah disahkan menyertai pertandingan PIITRAM kali ini yang terdiri dari 224 penyertaan dari Asasi Universiti Awam, 113 Kolej Matrikulasi dan 5 Politeknik (Asasi TVET).

PIITRAM2024 merupakan platform terbaik bagi pempamer produk inovasi mengembangkan bakat pelajar asasi dan matrikulasi dalam menghasilkan reka cipta yang berteraskan pendekatan interdisiplin dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM) sejajar dengan transformasi pendidikan kebangsaan bagi melahirkan modal insan yang sangat mahir dan inovatif.

Menurut Pengarah Program PIITRAM2024, Mohamad Hazwan Abdul Rahman, PIITRAM menjadi satu wadah yang terbaik untuk menimba ilmu, menyebarluaskan pengalaman dan memantapkan kreativiti, serta menjadikan inovasi sebagai tunjang pendidikan khasnya dalam bidang berteraskan STEAM.

“Ini sejajar dengan transformasi pendidikan kebangsaan semasa dan kewujudkan platfom PIITRAM ini sebenarnya turut mampu menyuntik motivasi dan menambah minat para pelajar asasi dan matrikulasi untuk terus menceburi bidang STEAM pada masa akan datang. Harapan kita pertandingan PIITRAM ini terus unggul dalam membudayakan inovasi dalam kalangan warga Pusat Asasi Universiti Awam dan Matrikulasi di Malaysia” ujarnya.

Melalui PIITRAM2024, kakitangan akademik dan pentadbiran juga berpeluang untuk menonjolkan dan mengetengahkan idea serta praktis terbaik yang diamalkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau budaya kerja berkualiti melalui hasil ciptaan kreativiti mereka.

Selain merebut pingat emas, perak dan gangsa, PIITRAM kali ini juga mempertandingkan 11 anugerah khas untuk inovasi terbaik antaranya Anugerah Projek Terbaik Keseluruhan (Al-Khawarizmi); Anugerah Khas MOSTI, Anugerah Projek Kreatif Terbaik, Pembentangan Terbaik dan Poster Terbaik. Bersempena musim cuti persekolahan, Pusat Tamhidi dengan kerjasama FaSTLAB dan Akademi Sains Malaysia (ASM) turut menganjurkan Program Jom STEM khusus untuk pelajar sekolah pada Sabtu dengan aktiviti pameran dan demontrasi sains.

Terbuka kepada orang ramai dan dijangkakan hampir 1,500 pengunjung akan hadir pada Sabtu ini, pihak penganjur turut menyediakan pengisian sampingan seperti pesta jualan pelbagai menu makanan melalui kenderaan saji, persembahan dari Kelab Kebudayaan USIM, pameran, konsultasi kerjaya dan cabutan bertuah. MalaysiaGazette