Tadika: Gambar hiasan

PENINGKATAN kos sara hidup yang tinggi pada hari ini memberi cabaran besar buat setiap warganya terutama para ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah.

Disebalik cita-cita menyediakan kehidupan yang terbaik buat anak-anak, ibu bapa perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya peningkatan kos untuk membesar dan memberikan pendidikan berkualiti kepada mereka.

Yuran-yuran berkaitan pendidikan yang perlu dibayar boleh mencecah hampir separuh daripada pendapatan isi rumah.

Situasi ini pastinya lebih dirasai oleh mereka yang tinggal di bandar-bandar utama seperti di Lembah Klang, Penang dan Johor Bharu.

Secara umumnya, kos membesarkan anak-anak adalah berbeza bagi setiap peringkat umur. Menurut artikel yang dikeluarkan oleh syarikat insurans AIA, kos sebenar membesarkan seorang anak sejak lahir hingga tamat pengajian universiti di Malaysia
boleh mencecah kira-kira RM4 00,000 hingga RM1,000 000.

Ini termasuk kos bersalin, mengasuh, sekolah dan yuran universiti.

Kos terbesar yang selalunya ditanggung ibu bapa ialah ketika anak mereka perlu melanjutkan pelajaran di insitusi pengajian tinggi.

Namun begitu, isu yang lebih kritikal ialah kos membesar dan menyediakan pendidikan awal kepada anak-anak. Jika kedua-kedua ibu bapa bekerja, maka kos mengasuh anak-anak ini sudah pasti sangat membebankan.

Menurut kajian yang dikeluarkan Babycenter mendapati lebih 80% ibu bapa Malaysia bergantung kepada pihak ketiga untuk penjagaan kanak-kanak.

Ini dipecahkan kepada 41 peratus yang bergantung kepada ibu dan bapa masing-masing atau saudara mara manakala baki 39 peratus pula bergantung kepada perkhidmatan pengasuh anak atau taska.

Harga yuran tidak munasabah Kebanyakan ibu-bapa bekerja di Malaysia mula menghantar anak seawal usia 3 bulan hingga berumur empat tahun ke taska untuk tujuan mengasuh dan memberi pendidikan awal kanak-kanak manakala di usia lima hingga enam tahun, mereka akan mula memasuki sistem pendidikan secara formal di Taman Didikan Kanak-Kanak yang juga dikenali sebagai tadika.

Inilah tempoh yang sering di katakan sangat mendesak dan mengcengkam kewangan ibu dan bapa.

Misalnya di Pulau Pinang, ada sesetengah taska kini mengenakan yuran pendaftaran sehingga mencecah RM2,500 dan yuran bulanan untuk sesi separuh hari sebanyak RM400.

Hal ini diakui sendiri oleh Pengerusi Keilmuan Nasional Negeri Pulau Pinang (KNNPP), Azdy Mohd. Arshad yang disiarkan oleh Utusan Harian bertarikh 22 Oktober 2023.

Menurut beliau, pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan berkaitan tindakan pihak pengusaha taska dan tadika swasta yang mengenakan yuran pendaftaran dan yuran bulanan yang sangat tinggi, malah ada yang meletakkan harga tidak munasabah sekali gus membebankan ibu bapa.

Manakala, laporan Sinar Harian bertarikh 31 Mei 2023 mendedahkan, situasi lebih getir dialami oleh para ibu bapa di Lembah Klang yang perlu membelanjakan kira-kira RM900
sehingga RM4,000 bagi membayar yuran pendaftaran serta tahunan untuk seorang anak ke taska dan tadika swasta.

Secara purata pasangan muda yang tinggal di bandar raya perlu membayar di antara RM300 hingga RM2,000 sebulan, tidak termasuk caj pendaftaran bagi setiap anak, seawal usia bayi hingga enam tahun serta kos pengangkutan.

Golongan paling terkesan dengan kos ini semestinya adalah mereka dalam kumpulan pertengahan atau M-40. Mereka perlu membayar cukai pendapatan individu dan tidak berkelayakan untuk memperoleh subsidi task dan tadika.

Jika seorang anak mereka perlu membelanjakan kira-kira RM 1000 pada setiap bulan, bayangkan sekiranya mereka mempunyai lebih daripada seorang anak yang perlu dihantar ke taska atau tadika. Boleh jadi akan tertanam dibenak fikiran mereka untuk tidak memiliki anak yang lebih ramai bagi membolehkan mereka menabung sedikit wang bagi kegunaan masa depan.

Pada Julai 2019, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), pernah melaporkan bahawa kos penjagaan dan pendidikan awal anak-anak yang tinggi, dikesan antara penyumbang beban kewangan pasangan muda berusia di antara 20 hingga 40 tahun hingga ramai terjerat masalah hutang yang serius.

Manakala, kajian Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun yang sama turut menunjukkan seorang daripada setiap dua lelaki dan dua daripada setiap lima wanita berkahwin mengakui berdepan masalah mengurus perbelanjaan pendidikan awal anak-anak.

Kerajaan mesti campur tangan

Mendepani cabaran kenaikan pelbagai kos dan inflasi global hari ini, kerajaan harus memainkan peranan dan menentukan pelaburan yang terbaik untuk masa depan negara. Trend generasi hari ini yang cenderung mengelak berkahwin pada usia muda dan lebih memberi fokus kepada kerjaya dilihat bakal memberi masalah kepada kadar kesuburan dan kelahiran dalam negara.

Menurut Jabatan Perangkawan Malaysia, Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) 2022 di Malaysia merekodkan penurunan dengan 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun berbanding 1.7 anak pada 2021.

Kadar tersebut adalah terendah sejak lima dekad lalu dengan 4.9 anak bagi setiap perempuan pada 1970. Antara faktor penting menyebabkan masalah ini ialah kos membesarkan anak-anak adalah tinggi.

Malahan, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), Malaysia juga dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2030 apabila penduduk negara ini merangkumi warganegara yang berusia lebih 60 tahun dalam pola 15.3 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Justeru, adalah penting untuk kerajaan meletakkan pelbagai insentif dan galakan kepada orang muda untuk berkahwin dan memiliki anak.

Cabaran membendung kos pendidikan awal kanak-kanak seperti yuran taska atau tadika, peralatan dan bahan-bahan pembelajaran dan aktiviti ekstrakurikular harus di selesaikan dengan polisi-polisi yang mampu menyokong rakyat terutama golongan muda dan kumpulan berpendapatan pertengahan.

Kerajaan juga disaran untuk mewujudkan harga siling sekitar RM400 ke RM600 bagi yuran pendaftaran dan RM150 ke RM300 bagi yuran bulanan untuk seluruh taska dan tadika swasta di negara ini.

Dalam jangka masa panjang, kerajaan perlu berusaha mewujudkan lebih banyak lagi tadika milik kerajaan seperti tadika KEMAS dan tadika Perpaduan di setiap kawasan perumahan selain mewujudkan kelas prasekolah di setiap sekolah rendah yang menawarkan harga yang lebih berpatutan. – MalaysiaGazette

Oleh Mohd Hafizudin Mohd Yahaya (Yayasan Strategik Lestari)