Benjamin Netanyahu
Benjamin Netanyahu bersama anggota-anggota tentera rejim Zionis Israel. - Gambar: Facebook Perdana Menteri Israel

NEW YORK – Sejak 7 Oktober 2023, Israel telah melancarkan “kempen pemusnahan genosid” terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, menurut seorang profesor sejarah Yahudi di Amerika Syarikat (AS).

Pengerusi Sejarah Yahudi di Universiti Wake Forest, Dr Barry Trachtenberg berkata, Israel telah menggunakan keganasan yang tidak seimbang kepada penduduk Palestin selepas serangan pada 7 Oktober lalu yang dilakukan oleh Hamas.

Serangan berterusan oleh Israel itu seolah-olah menganggap semua rakyat Palestin yang tinggal di Gaza bertanggungjawab dalam kejadian 7 Oktober itu.

Mereka bukan sahaja membunuh sekurang-kurangnya 29,000 rakyat Palestin,  mencederakan puluhan ribu lagi, sebaliknya mereka bertindak dengan sengaja memusnahkan ‘keadaan untuk menampung kehidupan’.

“Dan dengan berbuat demikian, ini jelas melakukan pembunuhan beramai-ramai, kerana ia juga digabungkan dengan pelbagai kenyataan oleh pegawai Israel, yang mengatakan mereka akan melakukan langkah-langkah yang tepat, menganggap semua rakyat Palestin bertanggungjawab, seperti tiada rakyat Palestin yang tidak bersalah,” katanya kepada agensi berita Anadolu.

Trachtenberg menekankan salah satu sebab utama di sebalik serangan genosid Israel ke atas rakyat Palestin ialah “ideologi zionis.”

Beliau berkata, rakyat Israel percaya wilayah Palestin yang mereka duduki sebagai hak milik dan tanah air abadi orang Yahudi.

“Semua orang lain yang ada di wilayah itu, yang bukan Yahudi, dilihat sebagai musuh.

“Jadi, detik-detik krisis ini sebenarnya hanyalah percubaan untuk membersihkan lagi bumi Palestin. Dan tidak seperti apa yang kita lihat pada tahun 1948, dengan Nakba, dan apa yang kita lihat pada tahun 1967, dengan pengembangan Israel ke dalam wilayah-wilayah ini, apa yang kita lihat sekarang ialah mereka memulakan kempen genosid untuk memusnahkan rakyat Palestin di keseluruhannya, terutama di Gaza,” katanya.

Namun, pendekatan Israel sejak 1948 tidak menjadikan Yahudi lebih selamat di dunia

Trachtenberg menegaskan, Israel tidak mengendahkan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza apabila beribu-ribu orang kehilangan nyawa selepas keputusan itu bulan lepas.

Beliau berkata, Israel yang meneruskan serangan terhadap rakyat Palestin percaya mereka perlu bertindak bersendirian di dunia dan mereka menganggap semua orang musuh mereka.

Profesor itu turut mendakwa Israel percaya peraturan antarabangsa tidak terpakai untuk Tel Aviv.

“Malangnya, apa yang diabaikan ialah antisemitisme dari segi sejarah tidak wujud. Tetapi ia sebenarnya berkait dengan bentuk kebencian dan ketaksuban lain,” katanya.

Sebagai seorang sarjana Yahudi Amerika yang mengkaji dengan teliti sejarah Yahudi, Trachtenberg berkata, pendekatan yang telah dilakukan Israel sejak 1948 ini tidak menjadikan orang Yahudi di dunia lebih selamat, tetapi meningkatkan tahap bahaya untuk semua orang.

“Kita mesti mencari jalan yang berbeza. Saya fikir adalah sangat penting untuk kita mencuba setiap jalan yang ada, sama ada dengan mahkamah, tekanan politik,  melobi – kita perlu mengambil semua aktivis itu, mereka yang percaya kepada penyelesaian yang aman dan adil untuk proses ini benar-benar percaya bahawa Israel perlu berhenti dan menyedari bahawa meneruskan pembunuhan beramai-ramai ini hanya akhirnya akan menjejaskan matlamat jangka panjang mereka untuk kestabilan Yahudi di dunia.”

Di Mahkamah Persekutuan di Oakland, California, dalam tuntutan mahkamah yang difailkan terhadap pentadbiran Joe Biden untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza, Trachtenberg memberi keterangan sebagai saksi pakar yang memihak kepada rakyat Palestin.

Bahkan beliau kesal dengan sokongan yang diberikan Amerika Syarikat (AS) kepada Israel.

Beliau menegaskan, AS mengabaikan pendekatan yang akan memberi manfaat kepada dunia sebaliknya mengejar kepentingan sempitnya dengan memberikan keistimewaan kepada Israel berbanding rakyat Palestin.

“Amerika Syarikat juga perlu beralih arah, dan menyedari bahawa kuasanya yang besar, pengaruhnya yang besar perlu benar-benar sejajar dengan kehendak dunia.

“Apa yang kita lihat sekarang, sejak 7 Oktober 2023, Global Selatan bersolidariti dengan rakyat Palestin, buat pertama kalinya dengan cara beramai-ramai. Dan saya fikir para pemimpin AS perlu menyedari keputusan dan tindakan mereka dalam jangka panjang benar-benar memudaratkan kepentingan negara juga,” ujarnya. – Agensi