Kredit : Fb Malaysia MADAN

KUALA LUMPUR – Program MADANI Rakyat Zon Tengah yang akan membuka tirai di Kompleks Sukan Kuala Selangor, esok akan menjadi platform terbaik untuk menyebar luas dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Program yang berlangsung selama tiga hari hingga Ahad ini adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan kerajaan persekutuan, negeri dan agensi yang berkaitan.

Selain itu, program yang menyasarkan 100,000 pengunjung  itu turut membuka peluang kepada masyarakat mengemukakan pandangan serta cadangan untuk menambah baik mutu perkhidmatan sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras Agenda Malaysia MADANI.

Pelbagai  tarikan juga menanti pengunjung termasuk kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan perkhidmatan Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan orang ramai yang ingin memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian atau perdagangan selain penukaran topi keledar.

Turut disediakan ialah Jualan Mega MADANI dan Agro MADANI, pameran aset-aset kerajaan, perkhidmatan bergerak seperti pemeriksaan dan rawatan pergigian, kempen derma darah, perkhidmatan kitar semula, perkhidmatan urutan terapi dan kosmetologi.

Penganjuran program yang bermula 9 pagi hingga 10 malam itu turut memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta jaringan keselamatan sosial.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai peneraju program itu juga akan membuka pavilion khusus dan menyediakan khidmat nasihat secara terus kepada pengunjung berkaitan pelbagai elemen antaranya teknologi padi, akuakultur, pertanian menegak selain menyediakan petting zoo sebagai tarikan kanak-kanak.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, pelbagai kemudahan disediakan di Kompleks Sukan Kuala Selangor itu, termasuk penunjuk arah, tempat letak kenderaan, kemudahan pengangkutan, surau, tandas dan tempat makan.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), KPKM dan kerajaan Selangor itu merangkumi Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.- BERNAMA