Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berucap pada Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 22 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan telah dirakamkan percakapan berhubung dalam kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn. Bhd. (Spanco) bagi tempoh 2020-2021.

Menteri Kewangan ketika itu adalah Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang kini adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Lim Guan Eng pula menjawat jawatan sama bermula 2018 hingga 2020.

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan akaun syarikat itu masih dibekukan.

Beliau turut tidak menolak akan memanggil sesiapa sahaja yang terlibat dalam kuasa meluluskan projek berkenaan.

“Kita sudah merakam keterangan bekas Menteri Kewangan namun bekas Perdana Menteri ketika itu belum dipanggil memberi keterangan.

“Kita serah kepada pegawai penyiasat di mana jika ada keperluan akan memanggil bekas Perdana Menteri itu untuk memberi keterangan,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas ditemui pada Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) SPRM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan kes Spanco kini menjurus kepada kontrak pemerolehan antara 2020 hingga 2021.

Beliau menambah, bekas Perdana Menteri bagi tempoh sama  mungkin dipanggil bagi membantu siasatan.

“Kita tidak menolak kemungkinan akan memanggil pihak yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan tetapi belum lagi rakam percakapan,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM melakukan serbuan kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

SPRM turut menyerbu empat syarikat termasuk pembekal kenderaan kerajaan dengan memanggil lebih 20 individu dan sudah membekukan kira-kira 80 akaun syarikat serta individu yang berkaitan dalam kes itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga menyifatkan kontrak perolehan Spanco hanya merugikan negara. – MalaysiaGazette