Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Hab Kewangan Antarabangsa Tun Razak Exchange (TRX) di Menara Exchange 106, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 23 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memutuskan mengenai harga sebenar pengenalan kategori tunggal beras putih bagi menggantikan pengkelasan sedia ada petang ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang turut akan membincangkan penetapan harga jualan barangan berkenaan.

“Beras Putih Malaysia Madani akan dibincangkan petang ini tetapi janganlah soal mengenai isu beras sahaja kerana inisiatif (Program Jualan Rahmah) ketika ini turut membabitkan penjualan barangan lain seperti ikan, ayam daging dan sayur pada harga lebih murah.

“Ini kerana pengumuman mengenai harga terutama beras mestilah dibuat kerajaan. Kalau ada cadangan tersendiri, ia boleh sebab negara kita (mengamalkan) demokrasi dan ia boleh dilakukan. Namun, (ia) bukanlah keputusan kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Tun Razak Exchange sebagai Pusat Kewangan Malaysia di The Exchange 106 hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Anwar menjelaskan ekoran kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sebelum ini yang mengumumkan kerajaan memperkenalkan kategori tunggal dikenali Beras Putih Malaysia Madani. – MalaysiaGazette