Alexander bersama delegasi bergambar selepas mengadakan pertemuan dengan Aminuddin di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyalurkan peruntukan sebanyak RM135.8 juta kepada Negeri Sembilan bagi pelaksanaan kerja penyenggaraan jalan, cerun, jambatan dan bangunan Gunasama Persekutuan untuk tahun 2024.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya turut mempertimbangkan dua cadangan permohonan tambahan yang dikemukakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang melibatkan kerja-kerja pemasangan smart traffic light di beberapa lokasi di Jalan Persekutuan di negeri itu.

“Di samping itu juga, KKR serta JKR turut memberi komitmen untuk melaksanakan sebanyak sembilan buah projek pembangunan Jalan Persekutuan di Negeri Sembilan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 billion.

“KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga sedang dalam peringkat rundingan bersama-sama agensi lain dan syarikat pencadang untuk merancang pelaksanaan tiga buah projek Penswastaan Lebuhraya di Negeri Sembilan, termasuklah cadangan Lebuhraya Paroi ke Senawang yang menjadi keutamaan kerajaan Negeri Sembilan.

“YAB Menteri Besar turut menyuarakan pandangan terhadap mutu kerja syarikat konsesi yang menyelenggara infrastruktur jalan di negeri ini, yang agak kurang memuaskan. Beliau turut menyatakan keterbukaan Kerajaan Negeri untuk terlibat di dalam program MYJalan, kendalian KKR,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Alexander mengadakan kunjungan hormat ke Negeri Sembilan selepas bersama delegasinya turun ke Johor pada Isnin lalu.

Katanya, sejak dilantik menerajui KKR, ini kali pertama beliau mengadakan pertemuan rasmi dengan pemimpin negeri.

“Seperti biasa, saya dan pasukan KKR dan JKR datang bertandang bagi mendengar sendiri permasalahan berkaitan infrastruktur jalan yang dihadapi oleh negeri, yang memerlukan perhatian dan peruntukan dari kementerian,” ujarnya. – MalaysiaGazette