Anggota bomba sedang memeriksa premis kilang yang meletup di Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong, Selangor.

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) — Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian letupan gas di sebuah kilang di Jalan Utama 2/26, Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini, hari ini.

Penolong Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.14 pagi tadi.

Beliau berkata bomba mengerahkan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, BBP Subang serta BBP Cyberjaya.

“Setibanya di lokasi terdapat letupan melibatkan gas asetilena di sebuah kilang dan terdapat empat mangsa yang terlibat. Kerja-kerja ventilation sedang dilakukan untuk mengeluarkan gas yang masih berada di dalam kilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau kesemua identiti mangsa sedang dikenal pasti.

“Saya nampak dua mayat dalam keadaan hancur,” demikian kata seorang saksi kejadian letupan gas di sebuah kilang kejuruteraan dan elektrik, di Jalan Utama 2/26, Taman Perindustrian Puchong Utama.

Pengimpal di sebuah kilang besi yang hanya mahu dikenali dengan Chen berkata, ketika kejadian, beliau sedang melakukan kerja kimpalan sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat.

Menyangkakan ia bunyi letupan mercun, lelaki yang berumur lingkungan 40-an itu kemudian keluar untuk melihatnya dan mendapati terdapat serpihan atap terpelanting ke atas pokok, selain kelihatan api sedang marak di kilang tersebut.

“Selepas itu, kami semua bergegas pergi tolong dan (saya nampak) dua orang yang mati di dalam itu (dengan keadaan) memang hancur… jadi saya takut nak masuk, cuma bantu di luar saja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Pada kejadian kira-kira 10 pagi itu, dua dilaporkan maut manakala dua lagi cedera.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Subang Jaya Supt Mohd Fairus Jaafar mengesahkan dua lelaki warga asing yang terkorban dalam kejadian itu, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna.

Beliau berkata siasatan bagi mengenal pasti punca letupan kilang berkenaan sedang dilakukan, selain turut menjalankan siasatan ke atas pemilik sekiranya terdapat sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kilang kejuruteraan dan elektrik itu telah beroperasi selama 10 tahun dan mempunyai lesen perniagaan di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya.

“Keadaan selamat dari segi premis dan kawasan sekitar, namun kita tetap akan buat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mohd Fairus berkata dua mangsa yang cedera kini sedang dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang. – BERNAMA