Fadhlina (lima dari kanan) bergambar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) Negeri Sarawak yang berlangsung semalam.

KUALA LUMPUR – Beberapa keputusan penting dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) Negeri Sarawak bagi mengatasi isu-isu pendidikan di negeri itu.

Kementerian Pendidikan (KPM)  menerusi kenyataan memaklumkan, antara keputusan penting itu adalah persetujuan memberi perwakilan kuasa meluluskan projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sarawak atau mana-mana pihak lain selain Kerajaan Persekutuan kepada
Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak.

Ia tertakluk kepada garis panduan yang sedang berkuat kuasa.

“Beberapa agenda penting telah dibincangkan dalam mesyuarat JTBPP kali pertama ini termasuk penambahbaikan sumber manusia, operasi pendidikan dan pembangunan infrastruktur di Sarawak.

“KPM dan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) sentiasa komited memastikan pendidikan di Sarawak dapat terus ditingkatkan untuk manfaat semua murid,” katanya.

Mesyuarat JTBPP Negeri Sarawak telah dilangsungkan di Kuching semalam dengan dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

JTBPP diwujudkan khusus untuk mengatasi isu-isu pendidikan yang berbangkit di Sarawak, selaras dengan saranan keputusan Mesyuarat Penyelarasan Perjanjian Malaysia (MA63) Mengenai Isu Pembangunan Pendidikan dan Kesihatan di Negeri Sarawak dan Sabah. – MalaysiaGazette