Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai memadamkan atau tidak menyebarkan video yang menunjukkan kekerasan terhadap seorang lelaki terlibat kemalangan di Taman Pelangi  Semenyih 2, Kajang, baru-baru ini.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata sebarang perkongsian yang melibatkan video atau kandungan melibatkan mangsa serta pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Perkongsian rakaman video itu tidak hanya mengguris perasaan keluarga mangsa, malah melanggar prinsip dan etika asas dengan pengunaan grafik berkaitan kecelakaan, kemalangan dan kekerasan yang boleh menimbulkan kegelisahan penonton,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya setiap individu perlu mempertimbangkan sewajarnya untuk tidak menyebarkan video atau kandungan yang berkaitan dengan insiden itu.

Sebagai garis panduan berkenaan penciptaan kandungan, rujukan boleh dibuat melalui Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Seorang lelaki berusia 42 tahun maut selepas dipercayai diikat dan dipukul susulan kemalangan dengan pengantar makanan dalam satu kejadian pada malam Rabu lepas, dan video kejadian itu menjadi tular di media sosial. – BERNAMA