KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera berpangkat Laskar Kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima rasuah berbentuk suapan wang tunai RM46,000 pada tiga tahun lalu.
Difahamkan rasuah itu bagi membantu permohonan pinjaman pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi 10 individu.
Bagaimanapun ketika semua lapan pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, anggota berkenaan, Khairul Anuar Mat Sidek yang bekerja di Bahagian Perkhidmatan Anggota, Sel Pinjaman Perumahan Markas Angkatan Tentera Malaysia Kuala Lumpur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
Beliau kemudian mohon dibicarakan.
Mengikut semua pertuduhan, anggota itu telah didakwa menerima RM46,000 tunai secara serahan tangan daripada seorang wanita iaitu pemilik sebuah syarikat konsultansi bagi urusan permohonan pinjaman LPPSA.
Kesalahan itu dilakukan di Kuarters Desa Setia Wira, di sini antara 6 Januari 2021 dan 24 Mei 2022 secara berperingkat, jika sabit salah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan tertuduh berdepan penjara dua tahun serta denda.
Pendakwaan yang diwakili Rifah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin memandangkan ianya satu kesalahan serius dilakukan oleh penjawat awam.
Selain itu, beliau juga mencadangkan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan sehingga selesai prosiding.
Namun peguam mewakili tertuduh, Ahmad Syahmi Amran meminta mahkamah untuk mempertimbangkan kadar jaminan yang seolah-olah menghukum anak guamnya.
“Yang Arif, anak guam saya tidak pernah terlibat dengan apa-apa salah laku selama ini malah beliau juga sudah membuat pengakuan tidak bersalah terhadap semua pertuduhan terhadapnya. Jumlah ini bukan sahaja membebankan sebaliknya seperti menghukumnya.
“Anak guam saya juga perlu menanggung seorang anak yang masih kecil termasuk isterinya yang sarat mengandung. Beliau juga telah berikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan dan tiada risiko dia akan melarikan diri,” ujarnya.
Suzana kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 bersama syarat tambahan selain menetapkan 19 April bagi sebutan kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette