Prof Datuk Dr. Ruzairi Abdul Rahim

BATU PAHAT – warga kerja Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diminta bersedia untuk berubah dalam usaha memperkukuh ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan digital seperti yang digariskan dalam Rangka Masa Pelan Strategik 2021-2025.

Naib canselornya, Prof Datuk Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, UTHM telah menetapkan tahun ini sebagai fasa pecutan dalam memperkukuhkan ekosistem TVET dan digital selari dengan perubahan teknologi baharu.

Justeru, beliau menyeru warga kerja agar sedia untuk berubah dalam menghadapi perubahan ekosistem pekerjaan yang semakin dinamik dan kompleks.

“Pada tahun 2024 ini saya mengharapkan warga kampus lebih terbuka menerima idea baharu, lebih fleksibel dengan kepelbagaian pendekatan kerja, tidak takut perubahan, mempunyai inisiatif untuk terus belajar perkara baharu, berani mengambil risiko yang terkawal, sentiasa bersikap positif dan mempunyai kesedaran diri yang tinggi,” katanya,

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun 2024 melalui platform online  di Pusat Konvensyen, Kemudahan Guna Sama Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, UTHM kampus cawangan Pagoh di sini hari ini.

Selain itu,  tujuh hikmah untuk dihayati warga kampus dalam menerajui universiti iaitu kebersamaan seluruh warga universiti, pengamalan budaya positif seperti Sayangi UTHM termasuk kesediaan untuk berubah.

“Peranan setiap warga kerja amatlah penting untuk pemudahcara menjayakan lagi misi dan visi kita. Untuk itu saya mebgharapkan agar semua warga UTHM sama-sama mencapai kearah matlamat yang kita inginkan,” kata Ruzairi.

Program anjuran bersama Pejabat Strategik dan Pengurusan Risiko serta Pejabat Pentadbiran UTHM Kampus Cawangan Pagoh itu turut melibatkan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Prof. Dr Yusri Yusof, timbalan-timbalan Naib Canselor dan Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof Madya Dr. Afandi Ahmad serta pegawai-pegawai kanan universiti.- MalaysiaGazette