Kredit: Maxis

KUALA LUMPUR – Maxis dan Huawei berjaya mengadakan percubaan teknologi 5G-Advanced pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, yang mempamerkan antara lain ujian kelajuan langsung untuk memperlihatkan keupayaan teknologi itu mencapai kelajuan tahap ultra-pantas hingga 8 gigabit per saat (Gbps).

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan 5G-Advanced yang juga dikenali sebagai 5.5G, menjanjikan hingga 10 kali peningkatan kelajuan, peranti bersambung dan penambahbaikan dalam kependaman berbanding 5G.

Pameran yang dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil itu, menampilkan potensi teknologi 5G melalui ketersambungan dan penyelesaian digital generasi akan datang, dengan memanfaatkan kelajuan ultra-tinggi, kapasiti lebih besar untuk peranti bersambung secara serentak dan kependaman ultra-rendah yang boleh dipercayai.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata percubaan 5.5G ini menunjukkan potensi sektor telekomunikasi Malaysia dalam menyumbang kepada kemajuan ketersambungan komunikasi di negara ini.

“Kami berharap lebih banyak pemain industri akan merintis teknologi inovatif ini yang akan membantu perusahaan Malaysia meningkatkan rantaian nilai menerusi penyelesaian komersial dan perindustrian generasi akan datang. Ini akan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam telekomunikasi di peringkat global,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata syarikat itu berbangga dengan pencapaian percubaan 5.5G pertama itu bukan sahaja untuk negara tetapi juga di Asia Tenggara.  – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast