Tangkap layar video tular memaparkan seorang penguat kuasa JPJ didakwa mencabut kunci motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Teluk Intan.

TELUK INTAN – Tindakan petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menarik kunci motosikal membabitkan dua penunggang yang cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di sebuah persimpangan lampu isyarat di sini.

Video kejadian tersebut tular baru-baru ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Perak, Mir Khairol Hafizal Mir Idris berkata, berdasarkan siasatan, kejadian berlaku ketika pihaknya melakukan Ops Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Changkat Jong-Bidor, dekat sini, Rabu lalu.

Ujarnya, ketika operasi dilakukan terdapat segelintir penunggang motosikal cuba berpatah balik dan menunggang melawan arus untuk meloloskan daripada melalui sekatan jalan raya.

“Beberapa anggota penguat kuasa JPJ telah cuba dan berjaya memberhentikan motosikal terbabit, (termasuk dua penunggang dalam video tular berkenaan).

“Hasil pemeriksaan (terhadap dua penunggang) itu mendapati masing-masing mempunyai lesen memandu dan kenderaan motosikal yang masih berkuat kuasa,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurut beliau, pihaknya telah memberikan amaran dan nasihat kepada mereka supaya tidak mengulangi kesalahan melarikan diri daripada sekatan jalan raya pada masa akan datang.

Jelas beliau lagi, ia kerana tindakan itu bukan sahaja mengundang risiko kemalangan, malah membahayakan diri sendiri, pengguna jalan raya lain serta anggota penguat kuasa.

“Pemeriksaan dilakukan ketika sekatan jalan raya adalah untuk mengesan kesalahan dilakukan dan mengeluarkan saman.

“Rutin itu bukanlah merujuk kepada kes jenayah dan tidak ada keperluan untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 42(1) dan Seksyen 55 Akta Pengangkutan Jalan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Mir Khairol Hafizal memberitahu, hasil sekatan jalan raya yang dilakukan itu, JPJ Perak berjaya menahan 58 kenderaan dan mengeluarkan 383 notis saman atas pelbagai kesalahan.

Jelas beliau, antaranya, tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran, serta penggunaan plat nombor pendaftaran kenderaan yang ‘fancy’.

Terdahulu tular di media sosial video pendek memaparkan seorang penguat kuasa JPJ didakwa mencabut kunci motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Teluk Intan. -MalaysiaGazette