Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menyempurnakan gimik perasmian diiringi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Norini Ahmad pada Perasmian Penggerak Wanita RISDA (PEWARIS) di Cyberview Resort & Spa The Lodge, Cyberjaya. Foto SYADILA AMARI, 25 FEBRUARI 2024.

CYBERJAYA – Penubuhan Penggerak Wanita RISDA atau singkatannya PEWARIS diharap dapat mengubah landskap golongan wanita dalam industri getah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif yang digerakkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu menjadi pemangkin kepada golongan itu menerusi kaedah baharu yang bersesuaian.

Menurutnya, PEWARIS adalah kesinambungan kepada jawatan Pegawai Seranta Risda dan kini peranannya ditambah luas lagi dalam bidang sosioekonomi dan pendidikan.

“Saya juga mahu Pewaris ini bergerak seiring dengan program JELITA@RISDA yang dilancarkan tahun ini iaitu platform TVET (Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional).

“Sebelum ini, saya sudah nyatakan bahawa pada 2027 Kolej Risda akan melahirkan seramai 150,000 graduan,” katanya yang Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran PEWARIS di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir,, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad merangkap Penasihat PEWARIS dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib.

Seramai 194 orang PEWARIS telah dilantik pada program ini terdiri daripada wanita-wanita terpilih dari seluruh negara.

Selain sebagai agen penyampaian, PEWARIS juga akan bertindak sebagai penggiat Program TVET Wanita : JELITA@RISDA yang telah dilancarkan sebelum ini.

Ahmad Zahid berharap, penubuan PEWARIS ini dapat menjadi suatu anjakan paradigma kepada kerajaan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta RISDA dalam membina perhubungan efektif dengan seluruh masyarakat terutamanya pekebun kecil.

Ini kerana jelas beliau, ia satu inisiatif untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan khususnya RISDA dalam meluaskan jaringan di kalangan masyarakat pekebun kecil khususnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast