SANAA – Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom melakukan serangan udara di bandar ini, menurut televisyen Al-Masirah yang bersekutu dengan Houthi.
Namun tiada butiran lanjut tentang serangan tersebut.
Pentagon berkata, AS dan UK dengan sokongan Australia, Bahrain, Kanada, Denmark, Belanda dan New Zealand, melakukan serangan terhadap sasaran tentera di kawasan yang dikuasai Houthi.
“Pasukan gabungan menyasarkan lapan lokasi, termasuk kemudahan penyimpanan senjata bawah tanah Houthi, kemudahan penyimpanan peluru berpandu, sistem udara tanpa pemandu serangan sehala, sistem pertahanan udara, radar, dan helikopter, untuk terus menjejaskan keupayaan Houthi yang disokong Iran.
“Ia susulan tindakan Houthi yang melakukan serangan melulu terhadap kapal-kapal AS dan antarabangsa yang secara sah transit di Laut Merah, Selat Bab AI-Mandeb, dan Teluk Aden,” katanya.
Kumpulan Houthi Yaman telah menyasarkan kapal kargo di Laut Merah dan Teluk Aden yang dimiliki atau dikendalikan oleh syarikat Israel atau mengangkut barangan ke dan dari Israel sebagai solidariti dengan Semenanjung Gaza, yang berada di bawah serangan Israel sejak 7 Oktober lalu.
Dengan ketegangan yang semakin memuncak akibat serangan bersama oleh AS dan UK terhadap sasaran Houthi di Yaman, kumpulan itu mengisytiharkan semua kapal Amerika dan British sebagai sasarannya yang sah. – Agensi