KUALA LUMPUR – Sebanyak 79 kompaun melibatkan kesalahan kebersihan, petugas serta persekitaran premis dikeluarkan terhadap premis makanan menerusi Operasi Sepadu Bersih yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), baru-baru ini.

Menurut kenyataan DBKL, sebanyak tiga premis dikenakan tindakan arahan penutupan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 28(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

“Kompaun yang dikeluarkan di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

Terdahulu, DBKL melaksanakan operasi berkenaan di beberapa premis termasuk The Garden Mall (Parlimen Lembah Pantai) , Jalan Jalil Perkasa (Parlimen Seputeh), Jalan Manis 3, Taman Segar (Parlimen Cheras), Jalan Leboh Ampang dan Jalan Tengkat Tong Shin (Parlimen Bukit Bintang) baru-baru ini.

“Turut diperiksa ketika operasi Taman Sri Sinar dan 1 Mont Kiara (Parlimen Segambut),” katanya lagi.

Menurutnya, sebanyak 93 premis diperiksa ketika operasi berkenaan.

Sementara itu, DBKL memberi jaminan akan meneruskan pemantauan dan tindakan tegas dari semasa ke semasa bagi memastikan premis makanan mematuhi kehendak kesihatan yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette