Pasar Siti Khadijah Foto Arkib MalaysiaGazette

KOTA BHARU – Kerajaan negeri menafikan dakwaan Pasar Siti Khadijah kekurangan pelanggan, sebaliknya pengunjung semakin meningkat pada cuti sekolah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor berkata waktu paling sibuk di pasar itu adalah pada sebelah pagi sehingga menyebabkan jalan ke situ menjadi sesak.

“Dakwaan itu tidak betul. Pihak kami sudah bertemu dengan peniaga dan mendapatkan laporan, ia bercanggah kerana orang tersebut kata tak dapat masuk ke pasar sebab jalan sesak, kalau begitu keadaan, maknanya ramai pengunjung.

“Sudah ada dua, tiga yang muat turun dalam Facebook termasuk dari peniaga pasar mengatakan dia berseloroh dan sudah buat penafian, malah kuih-muih dibuat dan dijual sebelah pagi bukan sebelah petang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sebelum ini tular video yang mendakwa Pasar Siti Khadijah kekurangan pelanggan kerana ramai sudah beralih arah ke Hatyai, selain mendakwa peniaga sedih dan termenung kerana kekurangan pelanggan.

Beliau berkata keadaan ekonomi semasa tidak menjejaskan kemasukan pelancong untuk membeli-belah di Kelantan selain kerja-kerja naik taraf tempat tumpuan giat dijalankan.

“Sekarang ini kerajaan negeri dalam peringkat akhir merencanakan pelayaran sungai (river cruise) bersama pemandu pelancong di kawasan Pulau Suri, Telok Renjuna di Tumpat, Kuala Besar dan Sungai Pengkalan Datu di Kota Bharu yang melibatkan lembangan sungai,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast