Gambar hiasan.

HULU SELANGOR – Seorang remaja lelaki ditahan polis dipercayai terbabit dalam kes melarikan motosikal ketika jemaah solat Subuh di Masjid Felda Sungai Tengi Sabtu lalu.

Tertuduh yang juga pelajar tingkat tiga ditahan di Jalan Besar Batu 13, Terong, Perak kira-kira 10.30 malam hari sama.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, hasil soal siasat mendapati, remaja itu mengaku mencuri motosikal jenis Yamaha Y15 di mana kunci ditinggalkan oleh pemiliknya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati remaja lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Pemilik motosikal merupakan lelaki berusia 39 tahun menyedari kenderaannya hilang di parkir pukul 6.55 pagi selepas selesai solat.

“Pada mulanya polis sukar menjejaki suspek namun dengan bantuan maklumat dan risikan kita berjaya menahannya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ketika ditanya tentang sejauh mana penglibatan suspek melakukan jenayah, Ahmad Faizal memaklumkan ia masih disiasat.

“Suspek ditahan selama tiga hari bermula semalam hingga 28 Februari ini untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast