Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 ketika di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu merangka satu dasar baharu bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, walaupun Malaysia telah dibentuk lebih 60 tahun lalu namun masih terdapat generasi baru yang gagal untuk menguasai bahasa Melayu dan memahami budaya kaum lain.

“Saya perhatikan selepas 60 tahun Malaysia dibentuk hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna. Masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.

“Oleh itu saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni

“Pepatah Melayu ada menyebut, melentur buluh biar dari rebung, yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak dari kecil,” titah Sultan Ibrahim.

Sementara itu baginda mengingatkan rakyat supaya tidak memainkan isu sensitif 3R melibatkan raja, kaum dan agama.

Sultan Ibrahim juga mengingatkan tidak ada mana-mana pihak yang cuba menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.

“Saya juga menyeru kepada semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif yang melibatkan raja, kaum dan agama.

“Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan terus kekal dipelihara namun begitu agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

“Oleh itu jangan ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan Perlembahaan ini,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim bertitah demikian selepas berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen, hari ini. Berangkat sama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. – MalaysiaGazette