Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Seorang warga Pakistan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghendap seorang wanita, tahun lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Ahmed Waqar, 30, mengekalkan pengakuan itu pada sebutan fakta dan hukuman kesnya hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berulang kali mengganggu seorang wanita, Chien Wen Wen, 30, dengan menghendap melalui tingkap di belakang sebuah rumah di Bukit Beruang 3.

Perbuatan itu dilakukan antara jam 5.52 pagi sehingga 6.10 pagi 14 November 2023 hingga 6 Disember 2023.

Ia menjadi kesalahan mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 507A(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran kerana perbuatan menghendap oleh tertuduh menimbulkan ketakutan kepada pengadu.

Peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh yang juga pembantu kedai makan sudah insaf.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Khairunnisak mengarahkan tertuduh didenda RM6,000 atau dipenjara lapan bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette