Peserta himpunan #Reformasi100Peratus berarak menuju ke Bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan ketika di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan kepimpinan Kerajaan Malaysia Madani sehinggakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan Himpunan #Reformasi100Peratus, hari ini.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia dicerminkan apabila Bersih yang pro kepada Pakatan Harapan (PH) ketika menajdi pembangkang jelas mengkritik pentadbiran kerajaan.

“Ada sesuatu yang tidak kena dalam pelaksanaan reformasi oleh kerajaan yang ada pada hari ini.

“Saya yakin sepatutnya Bersih tidak sepatutnya berhenti setakat ini sahaja tetapi akan ada gerakan-gerakan lepas daripada ini untuk pastikan kerajaan benar-benar melaksanakan janji reformasi sebelum daripada ini,” katanya selepas menerima memorandum daripada Himpunan #Reformasi100Peratus yang diadakan di pekarangan Parlimen, hari ini.

Ahmad Fadli menjadi satu-satunya wakil PN yang menerima memorandum daripada penganjur himpunan.

Antara Ahli Parlimen yang menerima memorandum daripada himpunan ini adalah Ahli Parlimen Selayang, William Leong, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufik Johari, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Parlimen Muar (Bebas) dan Syed Sadddiq Syed Abdul Rahman.

Himpunan #Reformasi100Peratus yang diadakan pagi ini gagal menarik peserta apabila hanya di sertai lebih kurang 100 orang sahaja.

Antara lain himpunan ini menurut agar menggesa kerajaan menambah baik perlindungan terhadap pemberi maklumat dan membuka akses terhadap maklumat kerajaan.

Kedua, menetapkan had tempoh jawatan perdana menteri, yang merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH.

Ketiga adalah berkenaan Akta Hasutan, selaras dengan janji pilihan raya PH untuk menyemak semula dan memansuhkan undang-undang yang dilihat zalim.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menerima memorandum dari wakil Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) pada himpunan #Reformasi100Peratus ketika di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 FEBRUARI 2024.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kerajaan cakap tidak serupa bikin apabila tidak mengotakan janji untuk melakukan reformasi dalam pentadbirannya.

“Kami (pembangkang) telah beritahu lama dulu bahawa kerajaan ini merupakan kerajaan yang sembang kosong saja, yang sekadar menyebut untuk melaksanakan reformasi.

“Apabila mereka bekerjasama dengan kleptokrat yang mereka dakwa sebagai kaki rasuah sebelum daripada ini akan ada nilai-nilai yang terpaksa mereka gadai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette