Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man (kiri) dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim dalam sidang media berkenaan Perancangan Tourism Pahang 2024 hari ini

KUANTAN – Pahang menetapkan sasaran kemasukan 13.5 juta pelancong dalam dan luar negara bagi tahun 2024, kata Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man.

Katanya, bagi tahun 2023, Pahang telah melangkaui sasaran 13 juta jumlah pelancong yang ditetapkan dengan kemasukan seramai 13.2 juta berbanding hanya 10.1 juta orang pada tahun sebelumnya.

“Kalau mengikut tempat-tempat pelancongan di negeri ini pula, tempat yang mencatatkan tiga teratas paling popular dikunjungi ialah Genting Highlands diikuti Kuantan dan Cameron Highlands.

“Kalau ikut kadar peningkatan yang paling banyak pula adalah di Taman Negara pada tahun lepas. Berbanding tahun 2022, mencatat peningkatan kira-kira 75 peratus,” katanya.

Leong Yu Man

Yu Man berkata demikian dalam sidang media bersama Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim di Me’Nate Steak Hub Kuantan hari ini.

Mengikut statistik bagi tahun 2023,  angka tertinggi kemasukan pelancong antarabangsa ke negeri ini direkodkan daripada tiga negara Asean iaitu Singapura (1.04 juta), China (213,671) dan Indonesia (211,671).

Kerajaan negeri  mahu menggalakkan lebih ramai kemasukan pelancong antarabangsa dan akan mempergiat promosi serta program untuk menarik pengunjung ke negeri ini.

Justeru, buat julung kalinya Pahang akan mengadakan Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) yang pada bulan Oktober ini di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre di Zenith Hotel.

“Kita harap supaya Kuantan dan Pahang boleh dijadikan satu hab atau meeting point untuk pemain industri dalam bidang pelancongan untuk bertemu dan mempromosikan bukan sahaja negeri Pahang, tapi juga tempat menarik negeri-negeri masing-masing,” tambahnya.

Selain itu, Yu Man berkata terdapat 41 acara pelancongan bertaraf antarabangsa telah dimasukkan dalam kalendar acara pelancongan Negeri Pahang bagi tahun ini berbanding 34 tahun lepas.

Beliau berkata, kerajaan negeri percaya dengan pertambahan acara pelancongan tersebut akan membawa impak secara terus kepada komuniti tempatan. – MalaysiaGazette