Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Tindakan memberi subsidi kepada gula dalam jumlah besar merupakan langkah mundur dalam reformasi kerajaan ke arah menghapuskan subsidi.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong, langkah berkenaan dilihat akan menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia,  sekali gus akan meningkatkan beban perbelanjaan kesihatan rakyat.

Katanya, gula dianggap racun kepada tubuh manusia dan jika diambil secara berlebihan dan lebih membimbangkan apabila Malaysia secara konsisten telah disenaraikan mempunyai kadar diabetis tertinggi di dunia.

“Kerajaan perlu sentiasa bertanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat pada masa kini dan akan datang.

“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2013, memansuhkan subsidi gula dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019 yang mengenakan cukai ke atas minuman bergula,” kata beliau dalam kenyataan.

Presiden MCA itu mengulas laporan media bahawa kerajaan telah mengembalikan subsidi RM1.00 sekilogram untuk gula kasar dan gula halus bermula November tahun lalu.

Beliau mendakwa, pemulangan semula subsidi gula dilakukan secara ‘senyap-senyap’ dan Kementerian Kesihatan tidak pernah menyebut apa-apa mengenai subsidi gula di Parlimen.

Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, pemulangan subsidi kepada gula akan menambah beban perbelanjaan kerajaan sekitar RM500 hingga RM600 juta setahun dan adalah lebih wajar wang tersebut dialihkan kepada barangan lain.

“Sekiranya kerajaan ingin memberi subsidi terhadap barang keperluan rakyat, lebih elok sekiranya diberikan subsidi ayam yang jelas telah meningkat harganya kepada RM10.33 sekilogram berbanding RM8.00 sekilogram sebelum kerajaan bertindak memansuhkannya pada November 2023,” tegas beliau.

Justeru, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya meneliti semula dan mempertimbangkan pembatalan subsidi gula demi kebaikan kesihatan rakyat dan kelestarian dasar sedia ada.

Tambah beliau, sudah tiba masanya kerajaan bertindak memain peranan dengan menghapuskan atau menaikkan harga kawalan gula dalam masa yang sama dapat mendidik rakyat untuk mengurangkan penggunaan gula dalam kehidupan seharian.

Sebelum ini, media melaporkan, MSM Malaysia Holding Bhd (MSM) mencadangkan kerajaan menaikkan harga RM2.85 sekilogram untuk gula paket kasar kepada RM3.85 sekilogram selaras dengan kos pengeluaran semakin meningkat.-MalaysiaGazette