Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memandang serius kejatuhan nilai ringgit kerana yang menjadi mangsa adalah ekonomi negara dan sudah tentu rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana harga barangan import khususnya yang berkaitan makanan telah melambung tinggi.

Namun beliau mempersoalkan apa tindakan yang dibuat kerajaan kerana Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pernah berkata, Kabinet tidak berbincang isu kejatuhan ringgit kepada RM4.80 berbanding dollar Amerika Syarikat.

“Apakah isu ini tidak penting kepada kerajaan? Mana tanggungjawab kerajaan dalam isu seserius ini? Apa nak jadi dengan kerajaan ni?

“Dulu, bila ringgit jatuh walaupun tidak seteruk sekarang ini, berdegar-degar suara YAB Tambun. Saya ulang balik kenyataan YAB Tambun pada 11 September 2022 semasa berceramah di Tamah Melawati.

“Apa YAB Tambun kata? Saya ulang di sini; “Harga import naik sebab apa? Sebab ringgit jatuh. Sebab apa ringgit jatuh? Sebab hang tak reti jaga negeri ini,” katanya mengajuk ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah (Larut – PN)  berkata, ringgit yang mencecah paras terendah RM4.80 berbanding dollar Amerika Syarikat sebelum ini hampir menyamai paras terburuk ketika berlakunya krisis ekonomi 1997/1998.

Menurut beliau, secara kebetulannya, Menteri Kewangan ketika ringgit terburuk iaitu RM4.88 pada 1998 dan semasa ringgit menjunam RM4.80 sekarang adalah orang yang sama.

Bahkan, katanya, beberapa minggu lalu, ringgit juga mencatatkan rekod terburuk berbanding dollar Singapura dalam tempoh 56 tahun iaitu pada kadar RM3.55.

“Tiba-tiba hari ini, bila ringgit menjunam, terpelosok ke paras RM4.80, Perdana Menteri kata jangan jadikan isu kelemahan ringgit sebagai senjata politik.

“Ini apa punya sembang ini? Bila kena kat batang hidung sendiri, taichi suruh Gabenor Bank Negara jawab? Polisi fiskal tanggungjawab kerajaan. Gabenor bertanggungjawab ke atas monetary policy tetapi kedua-duanya adalah tanggungjawab Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette