Tangkap layar menunjukkan sekumpulan individu bergaduh di sebuah perlawanan bola sepak membabitkan beberapa kelab di negeri ini di Butterworth pada Ahad lalu.

BUTTERWORTH – Polis menahan tiga lelaki yang terlibat dalam pergaduhan ketika perlawanan bola sepak membabitkan beberapa kelab di negeri ini berlangsung di Padang St Mark, di sini pada Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, tiga lelaki berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan sekitar Seberang Perai selepas pihakanya menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kejadian tersebut.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada pemain. Semakan juga mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah pada 2021

“Kesemua mereka direman selama sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai,” katanya hari ini.

Tambah beliau, tidak puas hati dengan keputusan pengadil dikatakan punca pergaduhan itu tercetus.

“Selain itu, terdapat perbuatan provokasi sesama mereka (pemain bola) dengan cara mempamerkan mimik muka dan gerak badan ketika perlawanan berlangsung.

“Buat masa ini, kita masih lagi mengesan individu-individu lain yang terlibat dalam insiden tersebut,” katanya.

Kes disiasat dibawah seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

Mengulas lanjut Siti Nor Salawati menyeru orang ramai agar tidak mensensasikan kejadian tersebut di media sosial sehingga menimbulkan persepsi yang boleh menganggu kententeraman awam.

Oang ramai yang mempunyai maklumat dan saksi berhubung kejadian ini diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Nursyahirah Sarahani di talian 04 576 2222 (samb: 2275) atau mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Semalam, tular satu rakaman video berdurasi 21 saat memaparkan sekumpulan individu bergaduh sedang bermain bola sepak bergaduh di sebuah padang di Butterworth. – MalaysiaGazette