SEBERANG PERAI – Warga asing ‘ternak’ nyamuk aedes dalam tandas.
Itu antara senario yang ditemui Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ketika melakukan pemeriksaan menerusi Op Ganyang di Flat Semilang di sini.
Pemeriksaan JKNPP bermula jam 5 petang hingga 9 malam itu turut membongkarkan kebanyakan warga asing gagal memastikan kebersihan di tempat tinggal mereka yang dipercayai menjadi punca pembiakan nyamuk aedes.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Vektor JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, pemeriksaan mengejut itu dilakukan susulan peningkatan kes denggi di Lorong Sembilang dan Lorong Tenggiri.
Jelas beliau, dua lokaliti itu dilabelkan sebagai kawasan panas denggi susulan mencatatkan tempoh paling lama iaitu masing-masing sebanyak 46 dan 86 hari.
“Pemeriksaan kita mendapati kebanyakan kediaman yang didiami warga asing itu bukan saja tidak bersih malah, mereka membiarkan air bertakung dalam tandas bagi tempoh yang lama sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Ada situasi yang mana warga asing itu mendakwa sudah empat tahun tidak menggunakan tandas susulan pamnya rosak namun pemeriksaan membawa kepada penemuan jentik-jentik berikutan mereka tidak membuang air bertakung dalam pam itu.
“Sehubungan itu, kita sarankan pihak pengurusan pekerja supaya memantau tahap kebersihan di premis yang disewa supaya sentiasa berada dalam keadaan terkawal dengan kebersihan memuaskan,” katanya kepada pemberita di lokasi pemeriksaan malam tadi.
Tambah Mohd Wazir, selain kegagalan menjaga kebersihan, pemeriksaan di Flat Hamna di Lorong Tenggiri di sini mendapati beberapa unit flat diubahsuai namun sisa bahan binaan tidak diselenggara dengan baik.
“Kitta lihat ada unit kediaman mengubahsuai bangunan sehingga menyebabkan longkang tersumbat, meskipun ia bukan bidang kuasa kami (JNKPP), namun kesan dan impaknya menyebabkan longkang tersumbat sehingga menyebabkan air bertakung.
“Situasi ini berkemungkinan boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes dan ini yang merisaukan pihak kami.
“Selain itu, kita juga mengesan beribu-ribu jentik-jentik nyamuk Culex telah membiak di longkang tersumbat di flat sama yang berpotensi menyebarkan virus Japanese Encephalitis (JE) serta demam Chikungunya,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 12 notis kompaun berjumlah RM7,200 telah dikeluarkan bagi kedua-dua lokaliti berkenaan yang berpotensi diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi. – MalaysiaGazette