hot weather sun sky forecast La Nina El Nino MetMalaysia
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Cuaca panas yang melanda seluruh negara telah melonjakkan jualan untuk kipas, pendingin udara (air cooler) dan penyaman udara.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Peralatan Elektrik Malaysia, Ng Chye Weng berkata, berbanding keadaan biasa, peningkatan jualan sebanyak 50 hingga 60 peratus telah dicatatkan.

“Jualan penyaman udara sejak Januari, terutamanya dalam musim perayaan Tahun Baharu Cina, telah meningkat 50 peratus.

“Untuk air cooler pula, jualan juga meningkat walaupun penyaman udara masih produk yang paling diminati,” katanya kepada China Press.

Katanya, penyaman udara jenis Inverter yang boleh memberi penjimatan elektrik merupakan pilihan popular.

Jelasnya, walaupun nilai ringgit telah jatuh, tetapi ia belum memberi kesan kepada harga penyaman udara.

Menurutnya, produk itu dijual kira-kira RM1,200 hingga RM1,600 untuk jenis Inverter dan RM900 untuk jenis bukan Inverter.

“Masih terdapat stok lama.  Tetapi jika stok baharu datang dan ringgit masih lemah, maka kenaikan harga mungkin berlaku,” katanya.

Ujarnya, disebabkan cuaca panas dan ramai orang mahukan minuman sejuk dan aiskrim, jualan peti sejuk juga meningkat. – MalaysiaGazette