KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM234.7 bilion pada Januari 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM122.4 bilion dan RM112.3 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia pada Januari 2024 bernilai RM122.4 bilion, meningkat sebanyak RM9.8 bilion (+8.7%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM5.6 bilion), Selangor (+RM3.3 bilion), Kedah (+RM1.2 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Perak (+RM640.1 juta), Pahang (+RM609.8 juta), Terengganu (+RM308.1 juta), Kuala Lumpur (+RM92.3 juta) dan Kelantan (+RM82.8 juta).

Bagaimanapun, nilai eksport menurun di Pulau Pinang sebanyak RM2.0 bilion, Labuan (-RM1.1 bilion), Sabah (-RM196.9 juta), Melaka (-RM188.5 juta), Negeri Sembilan (-RM130.7 juta) dan Perlis (-RM11.6 juta).

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 28.2 peratus, diikuti oleh Johor (22.4%), Selangor (18.0%), Sarawak (8.7%) dan Kuala Lumpur (4.5%).

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata, import pada bulan Januari 2024 meningkat RM17.8 bilion (+18.8%) berbanding bulan yang sama pada 2023.

Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM7.0 bilion), Selangor (+RM4.9 bilion), Kuala Lumpur (+RM2.8 bilion), Pulau Pinang (+RM1.1 bilion), Pahang (+RM739.1 juta), Melaka (+RM618.3 juta), Kedah (+RM445.1 juta), Negeri Sembilan (+RM167.5 juta), Terengganu (+RM153.8 juta), Kelantan (+RM28.0 juta), Sabah (+RM22.5 juta) dan Perlis (+RM6.7 juta).

Tetapi nilai import jatuh di Sarawak sebanyak RM261.2 juta, Labuan (-RM51.4 juta) dan Perak (-RM19.1 juta).

Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 26.4 peratus, diikuti oleh Johor (23.7%), Pulau Pinang (19.1%), W.P. Kuala Lumpur (8.8%) dan Kedah (5.6%). – MalaysiaGazette