Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil pihak yang terlibat dalam Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus di hadapan bangunan Parlimen, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, polis sedang menjalankan siasatan mengenai penganjuran himpunan berkenaan.

“Laporan telah dibuat dan kita sudah membuka kertas siasatan berkaitan himpunan berkenaan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Polis juga akan memanggil pihak yang terlibat dalam himpunan terbabit dalam masa terdekat untuk mengambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Allaudeen, pihaknya maklum berkaitan hak-hak yang termaktub dalam undang-undang termasuk melibatkan himpunan.

“Kita tiada masalah, semua ada hak dan perkara itu terjamin dalam undang-undang yang diperuntukkan.

“Bagaimanapun, kita mahu memberi peringatan agar ikutlah saluran dan proses yang betul, perlu maklum lima hari sebelum program atau himpunan diadakan dan disertakan dengan segala dokumen berkaitan termasuk kebenaran tuan punya tanah dan sebagainya,” ujar beliau.

Tambah beliau, tanggungjawab polis adalah sebagai pemudah cara dalam memastikan kelancaran semua pihak dalam setiap apa yang hendak dijalankan.

“Kena ingat, bila kita bicara tentang hak dan hak kita ada hak orang lain juga di dalamnya, polis perlu mengatur gerak daripada segi anggota dan sebagainya.

“Bukannya bila kata nak himpun terus berhimpun, perlu ada prosesnya dan ikut saluran yang betul,” ujarnya.

Semalam, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mengetuai perhimpunan itu berarak dari Plaza Tugu Negara ke bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum tuntutan reformasi kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan. – MalaysiaGazette