Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti dan memperhalusi langkah untuk menggubal Rang undang-undang (RUU) Anti-Ali Baba, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Langkah itu kata Rafizi, bagi mengenal pasti punca, isu, cabaran dan masalah rent-seeking sejak sekian lama, skop atau bidang kuasa yang akan diberikan kepada agensi pelaksana, prosedur melaksanakan kawal selia dan penguatkuasaan, implikasi kewangan dan tadbir urus perkhidmatan.

“Kerajaan kini sedang dalam proses untuk melaksanakan kajian bagi menyediakan kerangka Akta Anti Rent-Seeking. Proses penyediaan draf akta ini akan dilaksana dengan mendapatkan input daripada pelbagai stakeholder (pemegang taruh).

“Tujuannya adalah bagi mendapatkan perspektif yang jelas isu berkaitan rent-seeking kerana isu ini merentasi pelbagai sektor serta tindakan undang-undang yang bersesuaian,” kata Rafizi dalam jawapan bertulis semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Zahari Kechik (PN-Jeli) mengenai apakah status perancangan dalam merangka undang-undang anti-ali baba, tindakan undang-undang bagi kesalahan ini dan rasional untuk memperkenalkannya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, objektif bagi kajian ini adalah bagi memberi gambaran terperinci berhubung rent-seeking serta tindakan yang perlu diambil untuk memperkukuhkan aspek penguatkuasaan.

“RUU Anti-Ali Baba akan turut memperincikan tafsiran rent-seeking serta peringkat aktiviti yang terlibat, aspek-aspek pelanggaran, saluran aduan dan liabiliti yang timbul,” katanya.

Menurutnya, akta ini dicadangkan kerana kerajaan mendapati pada masa ini belum wujud undang-undang yang dapat membendung isu Ali Baba secara menyeluruh dan berkesan.

Beliau berkata, akta sedia ada iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, Akta Persaingan 2010, Akta Syarikat 2016 serta undang-undang kecil sedia ada masih tidak mencukupi untuk membendung aktiviti rent-seeking.

“Kerajaan juga mendapati perlakuan atau aktiviti rent-seeking boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi dengan meningkatkan kos operasi, menjejaskan kualiti produk dan perkhidmatan serta melebarkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat atau ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast