PUTRAJAYA – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mencadangkan satu peta hala tuju jangka pendek dan panjang ke arah perlaksanaan sistem ekonomi kitaran yang lebih menyeluruh dalam membantu bumiputera di negara ini.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Shabery Cheek berkata, pembangunan bidang baharu seperti kitar semula sisa sawit untuk menjana tenaga adalah model ekonomi kitaran industri sawit dijangka mampu menjana hingga RM200 bilion setahun pendapatan negara.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu mebangunkan pusat pengumpulan hampas sawit bagi menjana tenaga elektrik daripada sisa sawit tersebut.
“Jika kerajaan benar-benar mahu menolong bumiputera, kita mesti cari bidang yang penting pada masa depan dan kaedah yang terbaik dengan membangunkan bidang kitar semula sisa sawit untuk menjana tenaga.
“Tapi kalau dalam dunia kitar semula, kalau nak bantu ialah dengan membangunkan industri makanan ternakan pada masa masa depan yang boleh gantikan jagung dan kacang soya. Tapi kita perlu lakukan kajian dan kajian perlukan dana.
“Ini adalah jalan untuk bantu bumiputera sejajar dengan peredaran semasa. selain itu, kerajaan juga perlu bangunkan pusat pengumpulan hampas sawit. Perlu ada dasar bagaimana kalau elektrik dijana daripada sisa sawit,” katanya.
Beliau ditemui media selepas majlis perasmian Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Ia dianjurkan bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara).
KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertujuan memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi bumiputera selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani.
Shabery menambah, pelabur ketika ini ingin menerokai untuk mendapatkan tenaga baharu hasil daripada produk berasaskan biojisim kerana ia membantu mengurangkan pencemaran karbon.
“Satu masa nanti syarikat yang nak melabur di sini akan tanya, kilang guna tenaga elektrik daripada sumber mana? Kalau pakai arang batu, ia akan berdepan masalah kerana kena isytihar pelepasan sifar bersih
“Begitu juga barang yang dihasilkan, susah nak jual dan kena pelbagai cukai. Ini perkara yang mungkin kita tidak serius.
“Melalui Felda yang banyak sisa yang boleh ditukar ke penghasilan tenaga. Kilang-kilang yang datang nanti boleh declare kita,” ujarnya ketika pembentangan sesi libat urus bertajuk Felda, Tanah dan Wilayah. – MalaysiaGazette