Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) yang lebih rendah berbanding negara-negara lain boleh dikatakan sebab utama nilai ringgit menurun berbanding negara-negara tersebut.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sejak Mac 2022, bank pusat Amerika Syarikat (AS) telah menaikkan kadar faedah dengan mendadak dan agresif.

Kadar dasar utama AS yang mulanya berada dalam julat 0-0.25% pada Mac 2022 telah pun dinaikkan sebanyak 525 mata asas kepada julat 5.25-5.50% dalam tempoh 16 bulan.

Pada masa yang sama, kadar dasar utama negara serantau seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Korea dan India turut menyaksikan peningkatan sebanyak 200 ke 450 mata asas tetapi peningkatan OPR Malaysia pula hanyalah sebanyak 125 mata asas dari 1.75% ke 3.00% bagi tempoh yang sama.

“Perbezaan ketara dalam kadar faedah dengan Amerika Syarikat (AS) iaitu sebanyak 250 mata contohnya, mendorong pelabur asing mengalihkan modal keluar dari pasaran domestik ke pasaran yang memberikan pulangan lebih tinggi.

“Pergerakan ringgit dipengaruhi pelbagai faktor dan kejatuhan nilai ringgit yang dialami dalam tempoh terdekat ini sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dalam dolar AS dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China dan serantau lain.,” katanya bagi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (DAP).

Guan Eng meminta kerajaan menyatakan tentang faktor-faktor yang menyebabkan penurunan ringgit yang tidak mencerminkan petunjuk prestasi ekonomi negara yang menggalakkan, nyatakan kesan negatif, serta apakah langkah-langkah kewangan yang boleh diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menghindar ringgit terus susut nilai.

Menurutnya, kadar faedah OPR ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mencapai mandat domestik, iaitu kestabilan harga dan pertumbuhan yang mampan, dan bukan untuk sebarang matlamat mengubah keadaan kadar pertukaran ringgit.

Bagaimanapun, sekiranya OPR dinaikkan untuk mengukuhkan ringgit, ekonomi negara akan terkesan serta pelbagai pihak terbeban dengan
peminjam perlu membayar kadar faedah lebih tinggi.

“Perlu ditekankan bahawa, walau apa-apapun penjelasan, kerajaan tetap memandang serius akan prestasi nilai ringgit dan
komited mempertahankan serta memperkukuh kedudukan ringgit,” katanya.

Mengulas lanjut, Amir menambah, pelbagai langkah segera telahpun diambil kerajaan dan juga BNM dalam menangani kemerosotan ringgit termasuklah memastikan pasaran pertukaran asing di dalam negeri kekal teratur serta mengekalkan kestabilan kewangan dan monetari.

BNM akan terus memantau pasaran kewangan dan mengambil langkah perlu termasuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang berlebihan.

Selain itu, memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport selain meneruskan usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan untuk penyelesaian eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pergerakan dolar AS.

“BNM juga telah mempertingkatkan usaha-usaha untuk membendung pergerakan nilai ringgit yang berlebihan.

“Kementerian Kewangan dan BNM juga telah mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran wang ke dalam pasaran pertukaran matawang asing khususnya, kami memperkasakan lagi usaha bersama syarikat- syarikat berkaitan kerajaan (GLIC dan GLC) bagi menggalakkan mereka membawa pulang pendapatan pelaburan asing (repatriation) dan menukar pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten,” jelas beliau lagi.

Kerajaan turut mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat swasta untuk mengurangkan tekanan kepada ringgit termasuk menggalakkan mereka mengutamakan pelaburan domestik serta menangguhkan pelaburan luar negara baharu.

Pelaburan luar negara yang dilaksanakan juga perlu diurus secara berhemat seperti melindungi nilai (‘hedging’) pendedahan mata wang asing dan membawa balik hasil pelaburan luar negara bagi mengurangkan tekanan kepada ringgit.

Amir berkata, dalam menangani isu prestasi nilai ringgit, semua pihak boleh memainkan peranan.

Rakyat Malaysia digalakkan mengamalkan sikap Malaysia First sebagai pengguna harian termasuk membeli barangan dan perkhidmatan domestik, serta melabur dalam unit amanah atau pelaburan lindung nilai ringgit domestik.

Kempen melancong di dalam negara dan membeli barangan tempatan juga perlu diperkenalkan dan ditingkatkan kerana ia bukan sahaja menjimatkan wang malah dapat meningkatkan prestasi ekonomi negara dan menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit. – MalaysiaGazette