Mohammad Yusof Apdal

ISKANDAR PUTERI – Pertumbuhan syarikat pemula niaga khususnya di Johor dijangka berkembang dengan kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Wilayah Iskandar.

Ia semaki gus merancakkan lagi pertumbuhan syarikat pemula niaga di negeri ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, ini membolehkan Johor menjadi lokasi yang strategik kepada perkembangan pelaksanaan program MYStartup.

Katanya, inisiatif MYStartup bertujuan memperkasakan ekosistem pemula niaga di negara ini dengan peruntukan sebanyak RM20 juta seperti diumumkan dalam Bajet 2022.

“Ekosistem startup seperti mana yang diketahui di Johor mula berkembang pesat dengan pertumbuhan ketara.

“Hal ini sudah tentu didorong oleh kedudukan geografi stategik. Selain inisiatif kerajaan yang proaktif dan kumpulan-kumpulan bakat ini yang semakin berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Mikro MyStart Up Next di Iskandar Puteri, petang tadi.

Menurut Mohammad Yusof, MYStartup NXT adalah sebahagian daripada inisiatif MYStartup, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Permulaan Malaysia (Super) 2021-2030 yang diterajui kementeriannya.

Tambah beliau, dengan wujudnya JS-SEZ ia akan membantu mewujudkan lebih banyak syarikat permulaan, terutama di negeri selatan tanah air.

Katanya, semangat keusahawanan di Johor memberi inspirasi kerana ia didorong oleh sokongan yang datang daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, sokongan itu dapat dilihat menerusi pembiayaan, geran dan ruang inkubasi khusus yang membolehkan komuniti usahawan berkembang maju. – MalaysiaGazette