Mohamad Yusof merasmikan Persidangan Mikro MyStart Up Next di Iskandar Puteri petang tadi.

ISKANDAR PUTERI – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan lebih 5,000 startup (syarikat pemula niaga) berkualiti diwujudkan menjelang 2025.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohamad Yusof Apdal berkata, sasaran itu mampu dicapai dengan kewujudan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura yang akan terus merancakkan lagi pertumbuhan startup.

“Ini sekaligus menjadikan Johor gerbang strategik bagi startup melebarkan dan mengukuhkan jaringan mereka selain menjalin kolabrasi dan meningkatkan akses kepada bakat baharu.

“Johor sebagai negeri yang begitu strategik terhadap perkembangan startup di negara kita dan kita melihat kepada keperluan ekosistem yang  lebih dapat mendedah kepada startup kita.

“Makanya semua tahu Johor berdekatan dengan Singapura dan peluang startup boleh mengambil ruang dan peluang ini di negara jiran kita,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Mikro MyStart Up Next, di sini, hari ini.

Katanya, pencapaian ekonomi Johor juga telah mendapat pengiktirafan global menerusi Laporan Indeks Ekosistem Permulaan Global Startup Blink.

“Johor Bahru melonjak ke tangga 404 dan memperoleh tempat dalam kalangan 600 bandar terbaik dunia tahun lalu.

“Di Asia Tenggara, kedudukan itu (Johor Bahru) naik sembilan anak tangga ke tangga ke -13 sekaligus mengekalkan kedudukannya sebagai ekosistem ketiga paling bertenaga di negara ini,” katanya.

Menurut Mohamad Yusof, kedudukan berhampiran dengan Singapura membolehkan Johor melebarkan startegi yang startegik bagi startup dalam usaha mengukuhkan jaringan mereka.

Tahun lalu MyStartup NXT berjaya dilaksanakan di empat lokasi.

Ia bermula di Cyberjaya diikuti Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah dan menarik lebih 1,000 peserta. – MalaysiaGazette