GEORGE TOWN – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 141 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Juru di sini.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa yang dikenali sebagai R. Aravin, 26, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Pegawai Bomba Kanan II, Fauzi Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 3.43 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati mangsa berada dalam keadaan parah serta tersepit di bahagian pemandu kereta jenis Toyota Vios.
“Kita membuat ‘size up’ serta menggunakan ‘rescue tools’ untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa tersepit itu.
“Mangsa berjaya dibawa keluar namun telah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 4.54 pagi. – MalaysiaGazette