PETALING JAYA – Polis akan mengambil keterangan bapa kanak-kanak autisme yang ditemui lemas dalam kejadian di sebuah tasik di Taman Aman, Sea Park kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail berkata, setakat ini polis telah selesai merakam keterangan dua saksi yang menemui mangsa bagi membantu siasatan lanjut.

“Kita sudah panggil bapa mangsa dan akan mengambil keterangan daripada dia bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas pengabaian dan kecuaian oleh penjaga,” katanya dalam sidang media kejayaan kes tangkapan jenayah narkotik di IPD Petaling Jaya pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan dalam kes ini akan dijalankan dalam semua aspek.

Katanya,  laporan bedah siasat yang diperoleh menunjukkan mangsa yang berusia lima tahun mati akibat lemas.

Dalam kenyataan semalam, Shahrulnizam memaklumkan, polis menerima aduan  kehilangan mangsa pada jam 6.30 petang kelmarin daripada bapa mangsa.

“Pengadu memaklumkan mangsa disedari hilang semasa bermain dengan kembarnya di sebuah Taman Tasik Rekreasi Sea Park kira-kira jam 3.30 petang.

“Lelaki itu memberitahu dia tertidur ketika sedang memerhatikan pasangan kembar itu bermain di sekitar kawasan taman tasik rekreasi terbabit.

“Dia cuba mencari anaknya di sekitar kawasan tasik namun gagal menjumpainya sebelum polis menerima panggilan awam pada jam 6.50 petang yang menjumpai mangsa dalam keadaan terapung di permukaan tasik, kira-kira empat meter dari tebing tasik,”  ujarnya.- MalaysiaGazette