Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menafikan beliau mendapat imbuhan selepas mengatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, jawatan Ketua Petugas Khas Pemantauan kepada Kluster Makanan NACCOL. yang diberikan kepadanya adalah tidak bergaji.

“Jawatan yang diberikan berdasarkan kepada pengalaman dan terbukti jualan murah yang saya buat.

“Jawatan itu tidak bergaji, tidak ada elaun, jadi apakah imbuhan yang diberikan. Ini adalah khidmat kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.

Januari lalu, Syed Hussin diumumkan Anwar untuk mengetuai jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup.

Malah bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu akan mengetuai kluster tersebut di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).

November tahun lalu, Syed Hussin menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar ketika sidang Dewan Rakyat yang lalu.

Beliau menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Syed Hussin turut berkata, beliau bersedia untuk melepaskan jawatan itu daripada  menarik sokongan terhadap Anwar.

“Saya telah memberikan satu sokongan setelah saya fikir selama setahun berada di pihak pembangkang yang tidak ada apa-apa perkara yang boleh kita manfaatkan. Maka saya bersedia (letak jawatan) daripada saya tarik balik sokongan kepada PMX, biar rakyat buat keputusan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Azizi berkata, beliau juga sanggup untuk meletakkan jawatan sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak meminda perlembagaan parti itu kelak melarang mereka memberi sokongan kepada pihak ketiga.

“Saya pun sama, kenyataan kita sokong PMX ini adalah dari hati dan kita bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengosongkan kerusi, dan kenyataan itu kita sedia terima,” kata Mohd Azizi dalam sidang media sama. – MalaysiaGazette