Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Seri Azam Baki bercakap pada media selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Antirasuah Kebangsaan (NACS) 2024 di Hotel Times Square, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 29 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pegawai daripada agensi berkenaan menghubungi Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan semalam susulan pendedahannya berkenaan tawaran habuan peruntukan kepada wakil rakyat bernilai RM1.7 juta serta pengguguran pertuduhan kes di mahkamah.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya agensi berkenaan Tan Sri Azam Baki.

Tambah beliau, sesiapa sahaja boleh menghubungi ahli Parlimen berkenaan dan mendakwa merupakan anggota SPRM.

Mengulas lanjut Azam berkata, sepatutnya ahli Parlimen tersebut tampil membuat laporan di pejabat SPRM dan mengemukakan bukti bagi mengukuhkan kenyataannya di Parlimen baru-baru ini.

“Tidak ada pegawai saya yang menghubungi beliau, mungkin sesiapa pun boleh hubungi beliau mengatakan daripada SPRM. Yang penting di sini Wan Saiful Wan Jan sepatutnya ke SPRM buat laporan kerana apabila seseorang ditawarkan suapan atau rasuah perlu datang ke mana-mana balai polis terdekat atau (pejabat) SPRM untuk membuat laporan,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya ini kerana, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat dakwaan berkenaan di dalam Dewan Rakyat.

Katanya, bukti yang dikemukakan akan dapat membantu SPRM menjalankan siasatan.

“Dalam hal ini adalah lebih molek beliau datang (ke pejabat SPRM) kerana beliau menyebutnya di Parlimen. Ini bukan bentuk spekulasi bila beliau sebut dalam Dewan (Rakyat) yang mulia, adalah tanggungjawab beliau untuk tampil ke hadapan kami nak tahu juga apa butir lanjut yang disebutkan seseorang itu itu penting kerana tugas kami menyiasat,” ujarnya.

Wan Saiful semalam berkata menerima panggilan telefon daripada SPRM.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau berkata, pihaknya diminta menghubungi pegawai SPRM dipercayai bagi membuat laporan berhubung pendedahannya itu.

Sebagai rekod, pendedahan Wan Saiful di Dewan Rakyat baru-baru ini mencetus kekecohan di Dewan Rakyat terutama selepas menggunakan label ‘korup’ yang merujuk kepada Perdana Menteri, sebelum Yang Dipertua, Tan Sri Johari Abdul, meminta ia ditarik balik.-MalaysiaGazette