The Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Covid-19 SOP flash flood floods Labour Day public holiday
Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu yang disifatkan boleh memecah-belahkan umat Islam.

Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing.

Ingatan tersebut dibuat berhubung artikel yang ditulis Abdul Hadi bertajuk Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Sultan Selangor memberikan ingatan tersebut dalam sepucuk yang dihantar kepada Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri bagi menasihatkan Abdul Hadi supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Muhamad Munir Bani, Sultan Sharafuddin amat berdukacita dengan kenyataan yang dikeluarkan Abdul Hadi.

Intipati surat antara lain baginda menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia  (MKI) pada 15 Februari lalu.

“Kenyataan sinis Tan Sri Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

“Kenyataan Tan Sri Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini,” katanya.

Muhamad Munir berkata, Abdul Hadi dapat memahami maksud sebenar Sultan Sharafuddin sekiranya lebih berhati-hati dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan baginda.

“Kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi,” katanya.

Menurutnya, pada pengamatan Sultan Sharafuddin, Ahli Parlimen Marang itu telah membuat beberapa kenyataan yang cenderung untuk menyangkal titah Raja-Raja Melayu.

Ini antaranya kenyataan Abdul Hadi yang mempertikaikan kenyataan Sultan Terengganu yang melarang ahli politik menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid dan surau.-MalaysiaGazette